PROSES PENYUSUAN ARNAB
Arnab adalah haiwan yang sangat berhati-hati apabila mempunyai anak. Seperti juga tikus, aiwan akan berusaha agar pemangsa tidak mengetahui kedudukan sarang dan anak-anaknya. Maka, tidak hairan jika kita jarang melihat arnab duduk di dalam sarang bersama anak-anaknya, apatah lagi menyusukan anak-anaknya di depan kita.
Secara amnya, arnab hanya meluangkan masa selama 5-10 minit sahaja setiap hari di dalam sarangnya untuk menyusukan mereka! Itupun biasanya pada waktu malam atau awal pagi.
Adalah biasa bagi seorang pemelihara arnab baru (Beginner/ Newbies) yang rungsing kerana arnab seolah-olah tidak pandai menjaga anak atau mengabaikan anak-anaknya. Maka, Tuan-tuan arnab ini akan cuba pelbagai cara, termasuk mengangkat ibu arnab dan meletakkannya di dalam sarang, dengan harapan dia akan menyusukan mereka. Padahal, jika tidak kena caranya, mereka sebenarnya menambahkan stress ibu arnab dan menghasilkan suasana tidak aman/selamat bagi arnab. Akibatnya, ibu arnab akan mencederakan anak-anaknya secara sengaja (seperti menggigit anak-anaknya) atau tidak sengaja (melompat-lompat secara tidak tenteram sehingga terpijakkan anaknya).
Oleh itu, langkah yang terbaik ialah seperti di bawah :-
1. Arnab biasanya bunting dalam tempoh sebulan (27-32 hari), maka adalah penting menyediakan sarang/ nestbox awal sebelum hari kelahiran. Seminggu lebih awal adalah lebih baik supaya ibu arnab dapat membiasakan diri dengan sarang tersebut.
(Saya selalunya letak awal, kadang-kadang arnab tak bunting pun saya letak sebab arnab selesa tidur dalam nestbox. Seperti manusia, arnab boleh dilatih untuk mengasingkan tempat berak dan tempat tidur :) )
2. Sarang/ nestbox yang baik adalah yang cukup untuk memuatkan ibu arnab sahaja, jangan terlalu besar kerana arnab selesa jika nestbox tersebut tidak terlalu 'lapang'. Secara semulajadi, arnab mengorek lubang tanah/ terowong yang cukup untuk memuatkan dirinya sahaja. Dengan ini, arnab berasa selamat dari dicerobohi oleh pemangsa. Selain itu, ruang yang sekadar memadai juga dapat menampung haba supaya anak-anak arnab tidak kesejukan.
(Saya biasanya letakkan raga/ bakul plastik yang sesuai dengan saiz arnab, dan ikat pada sangkar supaya bakul tersebut tidak terbalik ketika arnab melompat masuk. Ada juga yang guna papan/kayu tetapi pastikan dasar nestbox dibuat dari jaring halus supaya air kencing anak-anak arnab tidak mengotorkan nestbox. Malah, ada juga ibu arnab yang 'kurang bijak' suka kencing dan berak dalam nestbox. Macam manusia juga, tak semua arnab 'bijak' hehe )
3. Pastikan makanan dan air bersih mencukupi supaya ibu arnab mempunyai nutrien yang mencukupi untuk diri dan anaknya. Tidak jarang saya ditanya kenapa ibu arnab memakan/kanibal anaknya sendiri. Kes kanibal sebenarnya amat jarang berlaku jika ibu arnab diberi makanan yang cukup nutrien khasnya jumlah protein yang mencukupi. Naluri kanibalisme/ memakan anaknya sendiri biasanya wujud jika ibu arnab mendapati anak-anak tersebut sememangnya terlalu lemah untuk hidup (tiada harapan). Selain itu, proses kelahiran memerlukan tenaga yang sangat tinggi, maka ibu arnab sendiri kekurangan nutrien untuk dirinya. Pilihan 'protein termudah' bagi dia ialah anak-anaknya sendiri. Maka, daripada menyalahkan ibu arnab, sepatutnya kita berasa kasihan dengan keadaannya itu. Biarkan ibu arnab ini rehat/berpantang dahulu sebulan dua sebelum dikahwinkan semula, kemudian penuhi segala keperluan makan, minum, tempat yang bersih dan selesa serta aman (dari gangguan dan ancaman). InsyaAllah, ibu arnab ini akan pandai menjaga anak-anaknya dengan baik.
(Saya sering tambahkan makanan berunsur herba seperti pokok ginseng jawa, daun belalai gajah, daun pandan, daun pisang dan ulam raja sebagai kudapan/ makanan sampingan kepada ibu arnab semasa tempoh bunting dan melahirkan. Selain berkhasiat (menambahkan susu dan tenaga), saya berpendapat daun-daun ini juga adalah terapi supaya arnab selesa dan tidak stress. Arnab sememangnya menyukai dedaunan hijau, jadi jika kita 'belanja' dengan dedaunan/ apa yang mereka suka, insyaAllah mereka akan selesa. TAPI INGAT, jangan terlalu banyak sebab nanti akan memudaratkan. Analogi mudah, kanak-kanak memang sukakan coklat, kalau kita bagi sekali sekala memang diorang suka, tapi kalau dah banyak, pasti memudaratkan. Benda sedap susah nak berhenti makan kan :) )
4. Pada hari kelahiran yang dijadualkan (pastikan anda merekod tarikh arnab dikahwinkan), elakkan terlalu kerap melihat ibu arnab. Ini akan mengganggu emosi arnab tersebut (arnab pun pemalu jugak hehe). Fahami sifat arnab, sebagai haiwan yang lemah dan terdedah kepada mangsa, arnab sangat berhati-hati untuk membuat sarang maka, jangan bandingkan arnab dengan haiwan seperti kucing dan anjing yang sentiasa bersama anak mereka kerana mereka mampu mempertahankan anak-anaknya.
(Saya lakukan benda sama masa mula-mula bela arnab. Rupanya saya sendiri yang undang stress pada arnab. Sekarang dah ok, dah tak se 'excited' dulu hehe)
5. Selepas melahirkan (biasanya 2-8 ekor, setakat ini paling banyak saya dapat 9 ekor untuk satu induk dan semua survive sehingga putus susu), ibu arnab perlukan makanan berprotein tinggi. Pastikan pellet berkualiti dan air bersih sentiasa mencukupi. Anda juga boleh menambah hay (jerami) alfafa yang berprotein tinggi dan oat. (Saya biasa memberikan oat dan ginseng jawa untuk menambahkan susu ibu arnab. Saya juga pernah diberi petua untuk memberi biji soya yang direndam semalaman kepada ibu arnab. Tapi cuma 10 biji sehari, jangan terlalu banyak!!)
6. Adalah normal bagi anak-anak arnab untuk terus menyusu sebaik sahaja dilahirkan (ya sebaik sahaja!). Maka, selepas itu, anak arnab akan tidur nyenyak secara berkumpulan. Selain memudahkan ibu untuk menyusukan, anak arnab yang tidur berkelompok akan saling menghangatkan. Anak arnab harus dielakkan dari terkena basah/air kerana arnab dilahirkan 'buta' dan tidak berbulu. Sebaiknya, pastikan ada pembasmi serangga yang bersesuaian dan yang paling penting, sangkar/kandang sentiasa bersih dari sisa najis dan makanan supaya tidak mengundang serangga seperti semut.(Saya biasa menyembur ekstrak serai wangi dan kadang kala membakar sabut berhampiran barn arnab untuk mengurangkan masalah serangga terutamanya nyamuk)
8. Seperti dimaklumkan terdahulu, ibu arnab amat jarang dapat dilihat menyusukan anaknya. Malah melihat dia bersama anaknya di dalam sarang/nestbox pun jarang. Jangan bimbang, itu NORMAL. Arnab tidak seperti kucing yang 'sentiasa menetekkan anak'. Maka, untuk menentukan sama ada si ibu benar-benar menyusukan anak atau tidak, selepas 24jam, periksa perut anak arnab. Jika buncit, maknanya si ibu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Jangan bimbang, anak arnab mampu bertahan sehingga 48jam tanpa disusukan.
Beberapa petanda yang dapat diperhatikan jika anak arnab benar-benar tidak disusukan :-
a. perut anak arnab kelihatan tidak berisi, kurus
b. jalur-jalur tulang rusuk kelihatan (bayangkan manusia yang kurus dengan manusia yang gemuk), anak arnab yang baru dilahirkan seumpama belon, jika kekurangan kandungan air, kesan fizikal ke atasnya akan cepat kelihatan
c. suhu badan anak arnab sejuk. Susu membekalkan nutrien dan tenaga. Tenaga dan metabolisme akan menghangatkan anak arnab yang normal.
9. Jika keadaan di atas berlaku, kita harus susukan anak-anak tersebut secara manual (seperti paparan video di atas). Letakkan satu bakul seperti ditunjukkan di atas sebuah kerusi yang agak tinggi (arnab normalnya, gayat dengan ketinggian). Letakkan ibu arnab di atas bakul tersebut dan masukkan anak-anak arnab secara beransur-ansur di bawah perutnya. Usap-usap ibu arnab supaya dia stabil dan tenang. Selepas dipastikan semua menyusu sekitar beberapa minit, bolehlah dimasukkan semula ke dalam sangkarnya kembali.
(Arnab yang dipaparkan di atas telah biasa dengan saya/manusia, maka saya tidak perlu usap untuk tenteramkan dia. Kelakuannya mencabut bulu-bulu (khasnya di bahagian perut) adalah untuk membuat sarang bagi menghangatkan anak-anaknya. Secara tidak langsung, bulu-bulu lebat di bahagian perut akan berkurang dan memudahkan anak-anaknya mencari puting susu. Tapi tidak semua arnab mencabut bulu sebelum melahirkan anak, anak juga yang mencabut bulu selepas kelahirannya, malah ada yang tidak langsung mencabut bulu. Tapi jangan bimbang, itu tidak menggambarkan kebolehannya / kemampuannya menjaga anak. Yang penting kita sediakan segala keperluannya dan ikuti perkembangannya secara teratur.
Selamat mencuba!!
**Sebarang pertanyaan dan perkongsian boleh diajukan di ruangan komen & saya akan cuba respon insyaAllah :)