Puyuh 'Bodyguard'
Di RHS, kami memelihara 2 jenis puyuh utama iaitu puyuh pendaging & puyuh mini /Button Quail (BQ). Puyuh pendaging terdiri dari jenis biasa (Brown) dan Tuxedo (Putih bertompok coklat hitam). Secara asasnya, tujuan kami memelihara puyuh ini adalah sebagai 'Pengawal' lantai kandang. Beberapa ekor puyuh akan ditempatkan di kandang merpati dan burung budgie sebagai pengawal serangga perosak seperti lipas, semut, cengkerik dan sebagainya. Serangga-serangga ini yang selain memakan makanan burung-burung peliharaan, juga turut membahayakan unggas-unggas secara langsung atau tidak langsung. Semut gatal dan semut hitam membahayakan anak-anak burung yang masih kecil dan juga burung yang cedera. Selain itu, kehadiran semut dan serangga akan mengundang kehadiran cicak yang juga membahayakan anak-anak burung budgie dan telurnya. Cicak merupakan pemangsa kepada anak-anak burung yang baru menetas dan telur. Lipas pula selain memakan sisa makanan burung, juga berpotensi menyebarkan penyakit kepada burung peliharaan. Puyuh merupakan calon terbaik sebagai pelengkap kandang burung kerana daya tahan dan kelasakannya terhadap penyakit serta tabie lebih banyak masa di tanah/lantai kerana keupayaan terbangnya yang terhad. Maka, puyuh tidak akan mengganggu sarang-sarang merpati dan budgie di atas. Dari pengalaman sendiri, puyuh juga sangat toleransi dan mudah berkawan dengan burung-burung lain. Puyuh juga pernah saya jadikan 'baby sitter' untuk anak ayam hutan kacuk dan anak puyuh yang lain. Walaupun secara umumnya puyuh tidak 'menjaga' anak-anak ayam hutan kacuk dan anak puyuh yang lain, tetapi sifatnya yang tidak agresif (boleh makan bersama dengan anak-anak burung/ayam) dan sudi menumpangkan sayapnya sebagai selimut untuk anak-anak burung, sangat membantu untuk memberi keselesaan dan rasa tenteram/selamat bagi anak-anak burung/ayam yang ketiadaan ibu.
No comments:
Post a Comment